from: kuliah ad.Deen.blogspot
Semalam adalah hari bahagia buat dua mempelai yang sama-sama berada di bawah bimbingan Walid. Mereka disatukan dalam satu majlis akad nikah yang ringkas dan sederhana, namun amat ceria dan barakah. Lebih-lebih lagi dengan kehadiran Walid dan keluarga, dimana Walid telah diminta pihak terbabit untuk menyampaikan khutbah nikah khusus kepada dua mempelai. Selepas selesai akad nikah pula, majlis diserikan lagi dengan alunan beberapa qasidah oleh anak-anak Ribath Syeikh Ibrahim al-Kurani.
Di sini dicatatkan khutbah nikah yang disampaikan Walid di majlis tersebut. Semoga kita sama-sama beroleh manfaat, insya Allah.
Bismillahirrahmanirrahim...
Segala puji bagi Allah yang dengan rahmat dan kasih sayangNya dapat kita berhimpun dalam majlis yang diberkati ini. Selawat dan salam kepada Junjungan kekasih kita Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, kemuliaan dan keberkatan kepada ahli Keluarga Baginda, para Sahabat r.a. para Syuhada, para Auliya, para Ulama dan mereka yang menjejaki perjalanan kebenaran.
Anakanda berdua,
Allah SWT telah menentukan dalam kehendakNya pada hari ini kamu menikah dengan pasangan yang telah dipertemukan olehNya. Beberapa saat lagi anakanda berdua akan rasmi melaksanakan ‘aqad nikah, perjanjian yang menyebabkan kalian mempunyai kedudukan yang baru, sebagai pasangan suami isteri secara sah menurut ketentuan agama.
Sebelum berlangsungnya majlis ‘akad nikah, di sini Walid berpesan akan beberapa hal yang perlu anakanda berdua selalu ingat apabila bergelar suami isteri, iaitu :
1) Pernikahan adalah satu IBADAH dan dijadikan sebagai wasilah kenderaan kita menuju tangga kecintaan Allah dan Rasul. Ia tidak sekadar sebuah acara untuk menyatukan lelaki dan perempuan sebagai tuntutan fitrah, tetapi adalah tuntutan yang amat ditekankan oleh agama dalam menyampaikan pada kehidupan yang suci dan sempurna. Oleh kerana itu menjadi penting sekali bahawa sejak dari niatnya anakanda berdua harus selalu meletakkan peristiwa ini sebagai wujud pelaksanaan ketaatan anakanda kepada Allah SWT dan RasulNya. Jadi di dalam pernikahan ini ada sebuah amanah, langsung dari Allah dan RasulNya. Tekadkanlah dalam hati anakanda, sejak dari awalnya, untuk menjaga amanah ini hingga akhir hayat nanti. Ini menjadi amat penting dalam proses kehidupan anakanda berdua dalam melayari bahtera perkahwinan nanti. Dengan niat dan tekad itu, semoga kiranya rahmat Allah SWT selalu hadir dalam kehidupan rumahtangga anakanda, baik dikala gembira mahu pun disaat duka.
2) Pernikahan adalah KASIH SAYANG. Al-Qur’an mengajarkan kepada kita semua bahawa melalui pernikahan seharusnyalah terwujud suasana kasih sayang, sebuah kebahagiaan, sebuah bayangan syurgawi di dunia. Keluarga adalah sebuah mahligai untuk mewujudkan kebahagiaan, bukan yang lain atau sebaliknya. Berkeluarga adalah sebuah janji dan usaha yang bersungguh-sungguh untuk mewujudkan kebahagiaan. Takrif kebahagiaan adalah amat sukar untuk dimaknakan kerana masing-masing pasangan mempunyai pandangan yang berbeza, namun jelas bahawa kebahagiaan adalah berlawanan dengan kekecewaan, kesedihan, kegelisahan, kelesuan dan apa yang makna sama dengannya.
Oleh kerana itu, ada 3 perkara penting perlu wujud demi kebahagiaan dalam hidup seseorang, iaitu :
Ciri Pertama
Terhadap masa lalunya ia tidak pernah menyesali atau kecewa berpanjangan; masa lalu selalu diingati dengan istighfar dan syukur. Permohonan ampun didasari atas kelemahan manusia diiringi dengan keyakinan bahawa Tuhan Maha Pengampun, Pengasih dan Penyayang; rasa syukur yang dilandasi atas kesedaran kuat bahawa betapapun beratnya cubaan dan kesulitan, nikmat Tuhan selalu lebih banyak dibanding itu semua.
Ciri Kedua
Apa jua ujian yang dihadapi nanti perlulah bersikap dengan semangat pantang menyerah kerana keyakinan bahawa terhadap setiap sebuah kesulitan selalu tersedia sekurang-kurangnya dua buah kemudahan. Cukuplah kesabaran dan ketekunan dalam usaha yang disertai dengan doa dari kerendahan hati seorang hamba sebagai bekal, yang dalam bahasa Al-Quran disebut, “jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu”.
Ciri Ketiga
Kebahagiaan yang dimiliki hari ini adalah ketidakpastian bagaimana di masa depan. Maka selalu berfikir dengan baik, mengamalkan syukur dan tawakal. Apabila kita bersyukur dengan kebahagiaan yang kita miliki, nescaya Allah akan menambahkan kebahagiaan pada kehidupan kita malah akan ditambah lagi nikmat kebahagiaan di masa hadapan. Jadikanlah kebahagiaan sebagai matlamat abadi anakanda berdua dalam membangun kehidupan keluarga.
Wahai anakanda,
3) Pernikahan adalah KEBAHAGIAN. Ia adalah pakaian dan kehidupan ahli syurgawi, maka kebahagiaan yang dimiliki dalam bahtera rumahtangga amat tidak disukai oleh iblis. Sebagai musuh abadi manusia, iblis sang pewaris neraka akan terus bekerja untuk menghancurkan kebahagiaan yang menjadi milik manusia, anak keturunan Adam sebagai para calon pewaris syurga.
Dalam hal kehidupan berkeluarga, salah satu benteng terkuat untuk menjaga kebahagiaan dari kehancuran atau kecelaruan itu adalah sikap kemaafan. Bukalah pintu kemaafan selebar-lebarnya dan selama-lamanya kerana ia akan mencegah masuknya kemarahan, kemarahan pembuka pintu iblis dalam menghancurkan kebahagiaan anak-anak Adam.
Ini penting untuk selalu diingat kerana anakanda mempunyai perangai, pemikiran, citarasa sendiri-sendiri yang unik, lengkap dengan kelebihan dan kelemahannya masing-masing, sedangkan melalui pernikahan, perbezaan ini hendak dipersatukan dalam sebuah rumahtangga demi kebahagiaan. Justeru sikap faham memahami, bertolak ansur dan keterbukaan di atas kelemahan dan saling memaafkan antara dua pihak amat penting. Ia adalah resepi abadi dan kuat dalam membangun rumahtangga bahagia. Lebih dari itu, kemaafan adalah jalan menuju taqwa, [wa ‘anta’fu aqrobu littaqwa - dan kemaafan itu lebih dekat kepada taqwa].
4) Pernikahan adalah RAHMAT. Berdasarkan fitrah manusia, agama mengatur tanggung jawab, peranan dan fungsi anakanda masing-masing dalam kehidupan berkeluarga. Sempurnakanlah dan tunaikanlah hal tersebut dalam perjalanan kita membangun rumah tangga yang semoga dengan demikian akan dirahmati dan diberkati Allah SWT. Menurut ketentuan agama, tanggung jawab sebagai ketua keluarga berada di bahu suami dengan tanggung jawab terbesar dan terberat adalah menjaga agar bahtera keluarga selalu berjalan menuju matlamat abadi, yakni kebahagiaan dunia akhirat dan terhindar dari siksa neraka.
Teladan mulia bagi isteri tentunya adalah Ibunda Sayyidatina Khadijah, yang selalu memberikan keteduhan, kelembutan dan juga dorongan yang tiada henti kepada suami untuk tetap istiqamah, sehingga betapapun beratnya tentangan dalam rangka menuju matlamat abadi itu selalu dapat diatasi dengan baik dan penuh tanggung jawab. Ingatlah selalu oleh kalian berdua bahwa salah satu fungsi pasangan suami isteri menurut Al-Qur’an (al-Baqarah : 187) adalah seperti pakaian [hunna libaasullakum wa antum libaasullahun - mereka dalah pakaian bagimu dan kamu pun adalah pakaian bagi mereka].
Fungsi pakaian selain untuk keindahan adalah juga untuk menutupi aurat, maka suami isteri harus saling menutupi kelemahan pasangannya. Seandainya kalian melihat kelemahan pada pasangan kalian maka berdoalah agar dibalik kelemahan itu terdapat kebaikan yang tidak terduga.
Ingatlah firman Allah SWT (An-Nisaa’ : 19], “Kemudian jika kamu tidak menyukai mereka maka bersabarlah, kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.”
5) Tingkatkanlah bakti kalian kepada ayah-bonda, yang telah dengan penuh kasih sayang dan kesabaran menghantar kalian hingga ke jinjang untuk memulai hidup baru, membangun rumah tangga sendiri. Perlu anakanda ingat bahawa cinta dan kasih sayang mereka kepada anakanda tidak akan pernah pudar walau kini kamu telah membangun rumah tangga sendiri.
Sebagai penutup di akhir khutbah, Walid berpesan kepada kedua mempelai pengantin baru dan juga buat sekelian yang hadir dengan firman Allah :
“… bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, nescaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapatkan kemenangan yang besar.” (al-Ahzaab: 70-71)
“… bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benarnya takwa kepada-Nya; dan janganlah sekali-kali kamu meninggal dunia melainkan dalam keadaan beragama Islam.” (Ali-‘Imran: 102)
“BAARAKALLAHU LAKUM WA BAARAKA’ALAIKUM WAJAMA’A BAINAKUMAA FII KHOIR!”
MA'RIFATULLAH
14 years ago